Aku suka menulis. Tapi bukan cerita panjang atau karangan berjela. Cukup dengan sebaris dua ayat, tetapi tepat menyampaikan suara hati ketika itu. Bukan sosok hebat pun, hanya budak perempuan biasa yang punya minat. Meski umur dah menjangkau 30-an, tetap aku bahasakan diri ini budak. Sebab itu menzahirkan betapa kerdilnya aku di mata Tuhan dan dikalangan pengkarya hebat. Kalau ada antara mereka yang 'ter'singgah di blog atau 'ter'baca hasil aku yang tak seberapa ni, aku harap ada komen ikhlas untuk bantu aku hadamkan sejauh mana nilai seni aku dalam fikiran mereka. Terima kasih untuk setiapnya.

Sunday, 18 December 2016

Hidup ini jangan cuba-cuba
Tak pernah rasa mau merasa
Tak pasal sendiri cari hal

Hidup harus sungguh-sungguh
Kalau tidak,
Memang selalu hidup akan dicuba! 

-18 Disember 2016


Malam yang pekat tetap akan berhujung, untuk berganti siang.
Langit terang dan malam pun hilang.

-19 Ogos 2016

Wednesday, 13 July 2016

Rutin

Pagi dengan secawan kopi 
Matahari belum tinggi
Masih merangkak 
Perlahan-lahan suluh bumi

Aku hirup seteguk dua 
Rasa tenang, rasa lega
Hilang juga baki mengantuk 
Cukup untuk alas kosong perut

Aku terus melekat di meja
Mau mengadap laptop seperti biasa

-14 Julai, 2016










Monday, 11 July 2016

Pengkhianat akad (suami sundal)

Di lorong najis
Kau khianat cinta
Kau rentap doa yang melahirkan
Kau dusta Tuhan
Nikmat apa yang kau mahukan?

Elok kau mereput sendiri
Jangan pernah galas amanah
Kalau semampu hanya bina sampah
Senang hati merabit jiwa lain
Kau toreh, kelar, carik dan robek-robek isinya hingga nanah
Galak betul kau lihat semburan darah
Kau fikir kau siapa?

Kau jilat bangkai bila cari suka
Kau hirup najis serupa anjing gila 
Kau ghairah dengan lantung fana
Kau kata tidak mau cari masalah...
Sudah cukup, dah habis mengalah
Buntunya kau sehingga mau meribah? 
Dengan jalang kau selera meratah, galak menjamah 
Kau itu antara yang ke berapa?
Beribu pekat masin sudah menyinggah dinding mulut dan daerah sulitnya
Kau terasa hebat yang semacam mana? 
Oh ya.. sekadar melepas niat, janji mendapat sudah
Wangi tubuh? lembut sentuh? mulus kulit? mampu menghakis masam kerak yang bertandang beberapa jam sebelumnya?
Padanlah untuk kau yang mau mengadap benda sama
Harus kau dianugerah sekalung tahniah!

Puas kau hidup dalam kelambu dusta
Selesa kerana aib tak pernah dicana
Cukup peka menutup cela angkara
Kau yakin ia kekal rahsia?

Aduh, mungkin sedikit alpa
Kau lupa Tuhan tak pernah buta
Bila DIA tiup secubit rasa pada jiwa teraniaya
Maka episod prasangka bermula
Terus menggoncang punca percaya
Menterbalikkan drama bahagia
Yang kau fikir akan aman sentiasa

Kau ini,
kau mungkin dicipta sasa
Tapi jangan pernah duga hebat sejenis hawa
Seperti batu simen kental jiwa
Biar ditumbuk hancur, relai dan berderai
Tetap keras bentuknya
Kerana kalau hal ini bertukar pelaku
Mungkin kau rebah sebelum menerima nyata
Sama ada kau hidup dalam mati
Atau dia mati kerana kau bencikan hidup

- 8 Julai, 2016.














Friday, 3 June 2016

Tentang babak

Kejadian demi kejadian
Diilham drama kehidupan
Saat lahir anak kecil hingga tingkat dewasa
Lalu berakhir tua...
Suatu aturan dunia
Bergulir dengan izin Pencipta

Itu babak
Sejenis pola bercerita.

2 jun 2016

Wednesday, 25 May 2016

Malapetaka isteri

Aku tidak bermata kuyu
Kurang minat bermekap tebal
Aku tidak berambut lurus, serupa amoi iklan syampu

Aku hanya aku 
Yang masih lagi begitu
Sederhana dan sosok biasa 
Fizikal serba sempurna

Aku sudah dihalalkan 
Untuk tunggangan setiap malammu
Rela berkongsi rasa menyulam cinta 
Demi sebuah naratif keabadian

Aku bersedia menakluk rohani 
Yang dari rusuknya tercipta jenisku
Menghayati nikmat manusia 
Yang sering diibarat syurga dunia

Tapi,
Bukan aku yang kau kehendak
Mungkin sudah kurang lazatnya 
Atau bosan menghadap sama  
Ketagihmu tinggi buat mereka 
Di taman hibur kau ghairah gonggong betina

Aku langsung hilang dari benak sang jejaka
Tiada nilai dalam hunian jiwanya
Aku kalah pada sundal yang manja 
Aku kalah pada urutan eksotiknya
Aku kalah pada rakus aksinya 
Aku kalah pada zat-zat terlarangnya

Sungguh,
Aku tidak bermata sepet
Kurang minat bersolek galak
Aku hanya seorang isteri, bermaruah dan tiada label harga.


25 Mei, 2016.







Pesan diri (1)

Ramai yang pandai bercakap
Bijak melantun pendapat, menegur itu dan ini
Berhujah segala dalil
Seolah tahu setiap rahsia langit dan bumi

Selagi acuan kita dari tanah
Diciptakan bentuk sebagai manusia
Maka kita tidak sempurna
Pasti ada hitam, tentu ada putih

Lapangkan dada untuk tidak menilai
Buka minda untuk berfikir
Teruskan berfikir untuk muhasabah diri

Beringat!
Apa yang terbentang pada pandangan itu peringatan
Apa yang dicanang melalui perkhabaran itu gunjingan
Sempurna luaran belum tentu cukup pengisian
Cacat penampilan mungkin lebih ikhlas amalan

10 Disember, 2014.

Kecamuk

KOSONG itu isi. SUNYI itu suara. 
Resmi rasa buat manusia.
Ini perkara biasa?
atau sebenarnya bodoran mau kaburi bencana?

Celik mata, telinga juga jelas mendengar
Masih buat tak kisah?
atau sengaja berlaku biasa, pura-pura tak ada masalah.

Retak itu hanya menanti belah. Ia makin parah.


14 Ogos, 2015.

Pendosa

Ramai orang yang tahu, tapi dia tak sedar..
Bagi orang yang sedar, insyaAllah dia tahu.

15 Januari, 2015.

Pesan diri (2)



Berdirilah di mana-mana bumi Tuhan
Cuma jangan terlalu mendongak ke atas sampai lupa tunduk ke bawah
Lantai kita juga kanvas warna
Punya cerita dalam tiap langkah, merakam sejarah tapak
Yang baik orang kenang, yang buruk orang maki.

4 April, 2016.

Hari jadian


Tuhan,
Jangan kau izin aku lupa
Jiwa ini mudah dipersetan
Raga ini ada tarikh luputnya
Setinggi mana aku mendaki
Segagah mana aku di puncak
Tetap pengakhirannya dalam perut bumi..

27 November, 2014.

Tanda Ingatan

Lebaran datang lagi
Membawa nikmat mengisi hari
Membuat sayu merantai syahdu
Tidakkan sama kali ini

Serasa berbeda yang amat sangat
Mendakap jiwa tua
Kehilangan ini mengikis semangat
Mengusik sepi perginya cinta

Riuh tawa anak dan menantu
Memecah sunyi di malam raya
Ramai bertandang berkongsi ceria
Tautan kasih termetrai indah

Di wajahku terukir senyum
Susun kata lembut bicara 
Setia menghulur kasih mengharum
Buat mereka..tiada tolak bandingnya
Buat mereka..tidak ternilai menggunung harganya

Namun..
Hati ini sunyi
Rindu ini kian tebal
Yang pergi tiada pengganti
Hanya doa setia mengiringi

Dia pergi dari kehidupan
Tak pernah sekelumit aku lupakan
Takkan luput dari ingatan
Tersimpul kemas dalam kenangan 
Kerna cintaku dan dia.. kekal sepanjang zaman

3 Oktober, 2009.
Salam Aidilfitri. Pakchaq dalam kenangan.

Tuesday, 24 May 2016

Tentang sunyi


Kalau aku sendiri.. itu sunyi
Kalau aku menjauh.. itu sunyi
Kalau aku diam.. itu sunyi
Kalau aku palingkan muka.. itu sunyi

Sunyi aku kerana rindu
Sunyi aku kerana cinta
Sunyi aku kerana percaya
Sunyi aku kerana setia

Kalau benar kamu tahu
Dan jika mampu kamu tahu itu


7 November, 2014.

Kasut buruk


Biar buruk asalkan bersih
Kalau carik masih boleh dijahit
Ditukar baru belum tentu selesa
Kadang cantik rupa, tapi bila dipakai tumit pula rasa seksa

Biarlah lama asal tiada cela
Masih boleh kaki menapak ke mana-mana
Dapat juga berlindung daripada debu tanah, duri dan kaca.


2 November, 2014. 


Kerjaan















Merenung ke luar jendela
Berangan sampai ke awan
Bila agaknya kerja nak habis? 
Kalau masa asyik tersia kemas kini insta! 

Teruskan perjuangan hari ini
Hidup kita bakal berhujung
Jangan leka bazirkan waktu
Pastikan tiap saat ada pengisian
InsyaAllah Yang Maha Pencipta permudahkan

30 Oktober, 2014.